Pra Pendidikan Tinggi


Menjadi mahasiswa universiti sememangnya merupakan impian para pelajar, lebih-lebih lagi setelah menamatkan pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun, tidak semua daripada mereka mampu menjadikan impian ini satu realiti atas pelbagai faktor diantaranya kerana kurang menepati syarat keperluan dan juga kurang berkemampuan.

Faktor ini menyebabkan ramai anak Melayu, anak Orang Asli, anak Sarawak dan anak Sabah yang kurang berkemampuan terutamanya di luar bandar yang tercicir kerana kekurangan kemudahan pembelajaran, lalu terkandas dan meneruskan hidup tanpa ilmu dan kebolehan untuk meneruskan kehidupan. Sebagai menunaikan tanggungjawab yang besar kepada masyarakat, UiTM ingin membantu mereka demi membela nasib diri dan keluarga. Mereka akan ditawarkan tempat untuk mengikuti pra pengajian tinggi di semua cawangan UiTM.

Program Pra Pengajian Tinggi (PPT) adalah program yang dulunya dikenali sebagai Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) UiTM. Ia merupakan program Corporate Social Responsibily universiti yang berasaskan kepercayaan bahawa seseorang individu mampu berusaha untuk mencapai kecemerlangan melalui pemindahan ilmu dan penerapan nilai-nilai murni.

Selain daripada itu, program ini juga bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar - pelajar dari golongan yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Dua program yang utama yang ditawarkan di bawah program ini adalah Pra Diploma Perdagangan dan Pra Diploma Sains.